Google Website Translator Gadget

Wednesday, April 29, 2009

Isu Air Mineral : PLUS Sangkal Dakwaan

Sejak kebelakangan ini, telah tersebar luas isu mengenai status air mineral PLUS yang dijual di R&R di lebuh raya. Isu berhubung status air mineral berjenama PLUS ini telah diungkit dan disebarkan dari sebuah laman web di internet. Menurut artikel yang bertajuk “Jangan Minum Air Mineral PLUS” tersebut, penulis mengatakan dari segi moral, air mineral PLUS tidak layak diminum oleh orang yang mementingkan kesucian kerana kedudukannya berhampiran dengan tanah perkuburan dan kawasan ternakan ayam.

Memandangkan isu ini semakin hangat diperbincangkan, pihak Pengurusan telah mengadakan siasatan lanjut di mana wakil-wakil PLUS telah diarahkan memeriksa keadaan kilang air mineral PLUS serta kawasan persekitaran di Mukim Bukit Pinang, Alor Setar serta mengadakan pertemuan dengan pemilik kilang air mineral terbabit, Jing Chia Yi Sdn Bhd.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kedudukan kilang air mineral yang sebelum ini digambarkan terletak bersebelahan sebuah kawasan perkuburan Cina telah berjaya disangkal. Menurut tinjauan yang dilakukan oleh Seksyen N1, tanah perkuburan cina tersebut terletak kira-kira 600 hingga 700 meter dari kawasan kilang. Kilang air mineral tersebut terletak di Bukit Pala, manakala tanah perkuburan pula terletak di kaki Bukit Inai. Selain itu, kilang air dan tanah perkuburan tersebut juga dipisahkan oleh kawasan sawah padi yang luas di kawasan terbabit.

Artikel itu juga mempersoalkan kedudukan kilang air yang berhampiran kawasan ternakan ayam. Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kedudukan sebuah atau dua bangsal ayam milik persendirian itu terletak jauh di kaki Bukit Pala berhampiran kawasan sawah padi, iaitu jauh di bawah kawasan kilang. Kilang ini juga dikelilingi oleh sebuah dusun buah-buah berukuran 800 kaki x 400 kaki di Bukit Pala.

Untuk memastikan kebersihan air mineral yang dihasilkan di kilang terbabit, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengadakan pemeriksaan setiap enam bulan bagi memastikan kualiti air mineral sentiasa berada pada piawaian yang diluluskan menurut Akta Makanan 1983. Ini termasuk memastikan kandungan mineral di dalam air tersebut berada pada tahap yang dibenarkan Kementerian Kesihatan serta bebas dari bakteria yang berbahaya.

Kilang Jing Chia Yi Sdn Bhd telah beroperasi selama 12 tahun dan diberikan lesen beroperasi yang baru oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada November 2004 (No Lesen KKM163(24/K/1)). Di antara air mineral keluaran syarikat ini yang dipasarkan ialah A’san Te, Coolzer, Eden, Guest, Sunshine dan Top Choice.

Sehubungan dengan itu, pihak Pengurusan meminta kerjasama semua supaya dapat menjelaskan status air mineral PLUS kepada pihak-pihak lain, khususnya mereka yang mempersoalkan kebersihan dan status air mineral tersebut.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

NuffnangX